Friday, October 29, 2010

Teori dan Proses Pembelajaran:
Dalam tajuk berkaitanTeori dan Proses Pembelajaran ini, terdapat dua persoalan penting yang perlukan jawapan iaitu, “Apa pentingnya bagi seseorang guru mengetahui tentang teori pembelajaran?” dan “Bagaimanakah pelbagai aspek ilmu yang berkaitan dengan proses pembelajaran mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah?”
Dalam bahagian ini kita akan pertimbangkan lima teori pembelajaran, iaitu, teori behavioris, teori kognitif, teori pembelajaran sosial, teori humanistik dan teori konstruktivisme. Kita juga akan meneliti lima aspek yang berkaitan dengan proses pembelajaran, iaitu, kesediaan, corak pengamatan, persepsi, ingatan dan lupaan serta pemindahan pembelajaran.

Apakah Pembelajaran?
Menurut Slavin (1991), pembelajaran adalah perubahan pada individu hasil daripada pengalaman. Manusia mula belajar sejak lahir dan semua pembelajaran ini berkaitan dengan pengalaman.
Kita perlu ingat bahawa pembelajaran tidak hanya terhad kepada sekolah sahaja. Sudah pasti anda sedar bahawa pembelajaran berlaku dalam banyak keadaan: formal, tidak formal dan bukan formal. Sebagai tambahan pembelajaran berlaku melalui pelbagai cara; boleh jadi dengan cara sengaja atau tidak sengaja. Dengan membaca topik ini juga, anda telah memperlajari sesuatu tentang pembelajaran.
Pelajar terlibat dengan pembelajaran pada bila-bila masa sahaja, tetapi pendidik lebih menitikberatkan tentang bagaimana mereka boleh membantu pelajar-pelajar ini memperoleh pengetahuan, kemahiran dan konsep yang memberi manfaat kepada mereka di hari kemudian kelak. Bagaimanakah, kita sebagai guru, membantu mereka memfokus proses perhatian dan mental mereka supaya mereka boleh memperoleh pengetahuan asas dan kemahiran secara berkesan? Ini menyebabkan ahli psikologi membina teori pembelajaran yang berbeza untuk menerangkan bagaimana pelajar belajar.

1. Teori pembelajaran Behavioris
Teori pembelajaran behavioris diilhamkan oleh Ivan Pavlov, Edward Thorndike dan B. F. Skinner. Ahli teori behavioris menekankan peranan pengalaman dalam mentadbirkan tingkah laku. Kita perlu memahami bahawa tingkah laku dipelajari di mana kedua-dua dorongan yang memulakan tingkah laku dan tingkah laku spesifik yang dimotivasikan oleh dorongan tersebut dipelajari melalui interaksi kita dengan persekitaran.
Selain ini, ahli tingkah laku juga mengguna konsep pelaziman untuk menerangkan bagaimana pembelajaran berlaku.
Pelaziman
Pelaziman didefinisikan sebagai satu proses di mana tingkah laku organisme berkaitan dengan rangsangan daripada persekitaran, apabila rangsangan ini wujud, tingkah laku tersebut berlaku.
Ahli behavioris mencadangkan dua jenis pelaziman untuk menerangkan pembelajaran, iaitu, pelaziman klasik dan pelaziman operan.

(a) Pelaziman Klasik (Pelaziman Pavlov)
Ivan Pavlov adalah seorang ahli saintis behavioris yang menjumpai proses pelaziman klasik semasa beliau membuat kajian terhadap gerak balas rembesan air liur anjing.
Dalam ujikaji pelaziman Pavlov, bunyi loceng berlaku terlebih dahulu atau bersaingan dengan rembesan air liur anjing, yang disebabkan oleh adanya makanan yang disajikan. Selepas itu, di masa akan datang, rembesan air liur anjing berlaku sebaik sahaja mendengar loceng walaupun tiada makanan disajikan di depannya.
Dalam pelaziman klasik, rangsangan baru timbul bersama-sama dengan rangsangan tak terlazim – seperti bau makanan – dan berlaku sebelum gerak balas tersebut, yang dibangkitkan oleh rangsangan tak terlazim. Rangsangan baru menjadi rangsangan terlazim dan gerak balas yang berlaku berikutan dengan kedua-dua rangsangan itu menjadi gerak balas terlazim.
Oleh itu, dalam pelaziman klasik, satu organisme belajar memberi gerak balas kepada rangsangan baru dengan cara yang sama ia memberi gerak balas kepada yang lama, rangsangan tak terlazim (Bigge, 1964).
Satu corak pembelajaran berlaku apabila dua rangsangan – rangsangan neutral (reaksi berlaku secara automatik apabila terdapat rangsangan tak terlazim) dan rangsangan tak terlazim (peristiwa di mana gerak balas berlaku secara automatik tanpa latihan awal) – yang “dipasangkan” (wujud serentak) berhubungkait antara satu sama lain.
Gerak balas tersebut dinamakan gerak balas tak terlazim (reaksi berlaku secara automatik apabila terdapat rangsangan tak terlazim) atau gerak balas terlazim (gerak balas yang dibangkitkan oleh rangsangan terlazim yang telah dipasangkan dengan rangsangan tidak terlazim; sama seperti gerak balas tak terlazim).
Dalam kajian Pavlov, rembesan air liur, (gerak balas tak terlazim) pada mulanya berlaku disebabkan oleh makanan (rangsangan tak terlazim) yang disajikan, tetapi apabila makanan dipasangkan dengan loceng, rembesan air liur (sekarang menjadi gerak balas terlazim) berlaku semasa mendengar bunyi loceng (rangsangan terlazim – rangsangan neutral yang boleh menimbulkan gerak balas terlazim setelah dipasangkan dengan rangsangan tak terlazim).

(b) Pelaziman Operan (Pelaziman Instrumental)
Daripada perbincangan di atas, kita telah menyentuh tentang pelaziman klasik bagi gerak balas tak terlazim seperti rembesan air liur. Akan tetapi adakah anda tahu bahawa bukan semua pembelajaran itu berlaku secara automatik dan tidak semua tingkah laku tidak dibangkitkan oleh rangsangan; sebenarnya ia berlaku secara sukarela. Manusia dikatakan “beroperasi” secara aktif terhadap persekitarannya untuk melahirkan akibat yang berlainan. Tindakan ini dinamakan operan. Oleh itu, proses pembelajaran yang terlibat dalam tingkah laku operan dinamakan pelaziman operan kerana kita belajar bertingkah laku mengikut cara kita beroperasi dengan persekitaran (Woolfolk, 1998).

          B. F. Skinner terkenal dengan pelaziman operannya. Menurut beliau, sesuatu organisme pada mulanya perlu membuat gerak balas yang diingini dan kemudian suatu “ganjaran” diberikan. Apakah tujuan ganjaran? Ia sebenarnya memperteguhkan gerak balas tersebut dan kemungkinan akan berlaku lagi. Dengan kata lain, gerak balas tersebut adalah instrumental dalam membawa peneguhannya.
Pembelajaran dikatakan berlaku apabila peserta perlu memberi gerak balas untuk melahirkan perubahan pada persekitaran. Contoh, jika anda memberi sesuatu gerak balas terhadap sesuatu rangsangan dan akibatnya adalah menyenangkan, maka kemungkinan besar anda akan menunjukkan gerak balas yang sama apabila berhadapan dengan rangsangan tersebut di masa lain. Dengan ini, pembelajaran berlaku apabila tingkah laku sukarela menjadi kukuh atau lemah disebabkan oleh akibat atau peristiwa sebelumnya. (Woolfolk, 1998).

Prinsip-Prinsip Teori Pembelajaran Behavioris
Setelah mempelajari tentang pelaziman klasik dan pelaziman operan, kita akan meneroka beberapa prinsip teori pembelajaran behavioris.
Seseorang akan bertambah kerap melakukan tingkah laku yang memberi kesan yang menyeronokkan, manakala kesan yang tidak menyeronokkan akan mengurangkan kekerapan sesuatu tingkah laku. Kesan yang menyeronokkan merupakan peneguhan manakala kesan yang tidak menyeronokkan adalah hukuman.

(a) Peneguhan
Ahli psikologi pendidikan mendefinisikan peneguhan sebagai sebarang kesan yang memperkukuh atau menambahkan kekerapan sesuatu tingkah laku. Sebagai seorang guru, anda pasti telah menggunakan peneguhan dalam pengajaran dan pembelajaran anda. Apakah antaranya? Pernahkah anda memuji pelajar anda kerana tingkah lakunya yang baik? Atau pernahkah anda memberi buku cerita kepada pelajar anda kerana penulisannya yang baik? Jika anda pernah melakukannya, anda telah mengguna peneguhan di dalam bilik darjah. Terdapat dua jenis peneguhan, iaitu primer dan sekunder.

Peneguhan Primer
Pada asasnya, peneguhan primer memenuhi keperluan atau dorongan asas biologi. Bagi seseorang yang lapar, makanan merupakan peneguhan primer. Contoh peneguhan primer adalah makanan, air, keselamatan, kemesraan, dan lain-lain.
Urutan pengurangan dorongan bagi peneguhan primer adalah seperti berikut:
(1) Penghapusan kepuasan bagi keperluan asas (contoh makanan)
(2) Keperluan yang dilahirkan sebagai dorongan rangsangan yang memberi tenaga kepada organisme untuk bertindak
(3) Aktiviti yang mencapai kepuasan keperluan dan melegakan tekanan
(4) Aktiviti yang serta merta mendahului kepuasan keperluan atau mengurangkan dorongan diperteguhkan

Peneguhan Sekunder
Peneguhan sekunder adalah rangsangan yang memperoleh sifat-sifat peneguhan apabila dikaitkan dengan peneguhan primer. Wang merupakan contoh yang baik – wang sebenarnya tidak mempunyai nilai intrinsik. Namun begitu, perlu diingat bahawa wang boleh ditukarkan kepada peneguhan primer seperti alat permainan.
Terdapat tiga kategori peneguhan sekunder; Iaitu peneguhan sosial (pujian, senyum, peluk atau perhatian), peneguhan token atau simbolik (wang, gred, atau bintang), peneguhan aktiviti (akses kepada permainan, atau aktiviti yang menyeronokkan)
Selain peneguhan primer dan sekunder, kita juga mempunyai peneguhan positif dan negatif.

Peneguhan Positif
Pernahkah anda dengar istilah “peneguhan positif”? Ia menunjukkan rangsangan yang menyeronokkan (makanan, air, pujian, gred) yang diberi setelah berlaku gerak balas yang menjadi sasaran. Contoh, apabila salah seorang daripada pelajar anda secara spontan membantu pelajar lain, anda sebagai guru akan memberi pujian.

Peneguhan Negatif
Peneguhan negatif merujuk kepada kaedah meningkatkan tingkah laku melalui penghapusan rangsangan yang tidak menyeronokkan. Contoh, seorang pelajar yang mempunyai masalah pertuturan tidak akan bercakap di bilik darjah kerana kecacatan ini akan menyebabkan pelajar lain ketawakannya. Jika guru menerangkan kesan dripada ketawa mereka dan memujuk mereka supaya berhenti, ini akan menggalakkan pelajar tersebut untuk cuba bercakap dalam bilik darjah. Penghapusan rangsangan yang tidak menyeronokkan akan meningkatkan kekerapan gerak balas tersebut.
Bolehkan anda membezakan antara peneguhan negatif dengan hukuman? Ya, ramai yang akan menginterpretasi peneguhan negatif sebagai hukuman. Contoh, anda fikir dengan cara anda menyuruh seorang kanak-kanak yang tidak membuat tugasan balik lewat selepas sekolah, maka anda merasakan anda telah menggunakan peneguhan negatif ke atasnya. Ini bukan peneguhan negatif. Ia adalah hukuman. Untuk mengelak daripada membuat kesilapan dalam menginterpretasi, ingat bahawa “peneguhan positif atau negatif memberi pengukuhan kepada tingkah laku manakala hukuman melemahkannya”.

(b) Hukuman
Hukuman meujuk kepada rangsangan yang menghasilkan gerak balas yang berkurangan.
Anda perlu ingat bahawa hukuman boleh berupa bentuk penyampaian rangsangan (hukuman positif) atau penghapusan rangsangan (hukuman negatif). Contoh perbezaan kedua-dua istilah ini ialah, seorang pelajar dimarah kerana bermain dalam bilik darjah, maka tingkah laku ini akan kurang kerap berlaku. Ini dinamakan hukuman positif. Sekiranya kita menggantung seorang pemain bola keranjang kerana melanggar peraturan latihan, ini adalah hukuman negatif.
Terdapat beberapa orang pengkaji menyatakan bahawa kesan hukuman hanyalah sementara sahaja dan menghasilkan keagresifan (Bates, 1987).
Hukuman perlu dirancang dengan teliti, bukan disebabkan oleh kekecewaan. Oleh itu, guna hukuman dengan berhati-hati.

(c) Penghapusan
Prinsip teori pembelajaran behavioris yang ketiga adalah penghapusan. Penghapusan adalah penghapusan rangsangan yang menyenangkan yang diikuti dengan gerak balas, seterusnya mengurangkan kekerapan gerak balas tersebut. Contoh, seorang guru mungkin secara tidak sengaja memberi ganjaran kepada pelajarnya yang berteriak dengan membenarkan mereka mengambil bahagian dalam perbincangan bilik darjah. Namun, selepas menyedarinya, guru akan hanya mengenal pasti pelajar yang hanya mengangkat tangan sahaja tanpa berteriak. Keputusannya, tingkah laku berteriak diharapkan dapat dikurangkan.
Pernahkah anda tidak mempedulikan pelajar yang ingin mendapat perhatian berulang kali? Anda akan dapati bahawa tingkah laku yang tidak diingini akan akan terhapus jika anda terus tidak mempedulikan mereka. Dengan demikian, penghapusan adalah kunci kepada pengurusan tingkah laku pelajar.

(d) Pembentukan
Semasa mengajar, adakah anda memberi pujian dengan serta merta kepada pelajar anda atau memuji setelah mereka menyiapkan tugasan mereka? Jika anda memuji pelajar anda secara serta merta, bermakna anda telah melakukan sesuatu yang betul! Memberi peneguhan secara serta merta dalam pengajaran adalah penting.
Pembentukan merupakan suatu alat penting dalam arahan bilik darjah. Dalam pelaziman operan, guru dianggap sebagai arkitek dan pembina tingkah laku pelajar. Anda perlu membahagikan objektif pembelajaran kepada tugasan-tugasan kecil di mana anda boleh mengajar setiap kemahiran langkah demi lengkah, dan memberi peneguhan satu demi satu, sehingga terbentuk kemahiran yang terakhir secara beransur-ansur.
Sebagai seorang guru, anda perlu memastikan bahawa pelajar anda telah menguasai kemahiran yang diperlukan sebelum mereka pergi ke langkah seterusnya. Di setiap langkah, anda perlu memberi peneguhan kepada setiap kemahiran kecil sehingga mereka mencapai metlamat mereka.
“A Poor Teacher Has To Teach Something BUT A Good Teacher Has Something To Teach”

No comments:

Post a Comment